SUBANG JAYA, 13 Jun- Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PROTON) akan mengeluarkan model kereta elektriknya, seiring dengan perkembangan teknologi semasa.
Kenderaan elektrik (EV) model pertama dikeluarkan tersebut diberi nama e.MAS yang membawa maksud 'Electrifying Malaysia'.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah berkata ia dijangka dilancarkan menjelang tahun 2025.
Jelas Roslan, pengeluaran kereta tersebut juga turut tampil dengan logo baharu dan pelbagai kebolehan menarik berbanding dengan kereta EV yang pernah berada di pasaran.
"Kami akan meningkatkan kapasiti bateri dan kami juga akan mencipta satu aplikasi khas yang mempunyai pelbagai fungsi supaya pengguna tidak perlu memuat turun aplikasi yang banyak di telefon pintas masing-masing, hanya semata-mata untuk mencari tempat pengecasan kereta atau membuat transaksi pembayaran di aplikasi berbeza.
"Impian kami untuk menyatukan pelbagai ciri-ciri dan fungsi dalam satu aplikasi khas," katanya selepas Pelancaran Jenama Kereta EV dan Logo Baharu PROTON di sini.
Katanya, pelancaran jenama dan logo e.MAS itu menandakan satu langkah penting bagi jenama automotif pertama di Malaysia dalam menyediakan penyelesaian mobiliti yang relevan dan mampu dimiliki oleh segenap masyarakat.
Turut diumumkan pelantikan 17 pengedar EV PROTON pertama.