fb fb fb fb fb

INTROP UPM pupuk inovasi penggunaan buluh bersama penduduk Sik

Majlis Pembudayaan Inovasi Buluh Rakyat bersama penduduk Kampung Baru Sungai Senam anjuran Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP), UPM

SIK, 13 Jun- Seramai 120 peserta menyertai Majlis Pembudayaan Inovasi Buluh Rakyat bersama penduduk Kampung Baru Sungai Senam anjuran Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP) Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini.

Pengarah INTROP, Prof. Ts. Dr. Khalina Abdan berkata penyertaan komuniti pada majlis itu memberikan peluang kepada Institut Pengajian Tinggi (IPT) khasnya untuk memperkenal dan mempromosi inovasi buluh.

“Pendedahan ini diharapkan dapat memberi manfaat besar kepada komuniti tempatan dan industri tanaman ladang selain memperkukuhkan hubungan dan jalinan kerjasama bersama komuniti untuk saling bertukar pandangan.

“Program ini juga akan membuka peluang untuk jaringan perkongsian ilmu dan inovasi teknologi buluh antara peserta serta pakar industri dalam menyokong usaha INTROP memperkasa komuniti melalui inovasi teknologi buluh,” katanya.

Pameran teknologi buluh, sesi perkongsian ilmu dan demonstrasi praktikal berjaya menarik minat peserta yang hadir dalam penggunaan buluh sebagai sumber alternatif yang lestari.

Dalam pada itu, komuniti Kampung Baru Sungai Senam turut membuat demonstrasi rawatan buluh serta jalur buluh yang membawa kepada lebih banyak inovasi dan peningkatan dalam teknik penanaman serta pemprosesan buluh di Malaysia.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE