fb fb fb fb fb

Universiti Swinburne Sarawak bukti komitmen kerajaan negeri dalam pendidikan tinggi berkualiti bertaraf dunia

FOTO BERNAMA

KUCHING, 26 Jun- Sektor pendidikan Sarawak melangkah setapak kehadapan dengan pembukaan lapan blok bangunan baharu di Universiti Swinburne Sarawak.

Menurut Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, struktur baharu itu katanya menjadi bukti kepada komitmen kerajaan negeri untuk menyediakan pendidikan berkualiti bertaraf dunia dari Australia.

Institusi pendidikan kolaborasi Swinburne dan kerajaan negeri sejak 25 tahun lalu itu telah berjaya menghasilkan lebih 10,000 graduan dari 50 buah negara dan telah mengisi keperluan tenaga kerja dalam pelbagai sektor ekonomi di Sarawak.

Dengan blok baru berkenaan, beliau yakin Swinburne dapat meningkatkan jumlah graduan daripada 3,000 kepada 5,000 setahun khususnya dalam mencapai sasaran Sarawak untuk menjadi maju menjelang 2030.

Penambahbaikan itu juga berupaya meningkatkan pengalaman pengajaran dan pembelajaran dan pelajar akan mendapat manfaat daripada ruang kolaboratif ini yang direka untuk memupuk kreativiti dan inovasi.

Tan Sri Abang Johari berkata demikian pada Perasmian Naiktaraf Kampus Universiti Swinburne Sarawak di Kuching.

Projek naik taraf bernilai RM50 juta itu meliputi kemudahan baharu termasuk ruang pengajaran dan pembelajaran yang dimodenkan, perpustakaan yang diperluaskan, dewan makanan, kampung pelajar, hab pelajar dan Atrium Borneo di tengah-tengah kampus.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee dan Pengerusi Swinburne Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE