fb fb fb fb fb

Nik Norzrul Thani, Pengerusi IHH baharu

Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani N. Hassan Thani

KUALA LUMPUR, 26 Jun- IHH Healthcare Bhd telah melantik Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani N. Hassan Thani, 63, sebagai pengerusi bebas dan bukan eksekutif berkuat kuasa hari ini.

Nik Norzrul menggantikan Tan Sri Mohammed Azlan Hashim, 67, yang bersara sebagai pengerusi bebas dan bukan eksekutif kumpulan itu selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) syarikat pada 28 Mei lepas.

IHH dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata Nik Norzrul Thani sekarang ini merupakan perunding di firma guaman Zaid Ibrahim & Co. Kepakarannya termasuk menyediakan nasihat undang-undang mengenai kewangan Islam, perbankan, kewangan luar pesisir, penstrukturan semula hutang serta perundangan antarabangsa, korporat dan komersial.

"Nik Norzrul Thani juga menyelia urus niaga penyusunan semula hutang dan korporat serta penerbitan sekuriti hutang swasta, merangkumi instrumen kewangan Islam untuk pelanggan domestik dan antarabangsa," kata penyedia penjagaan kesihatan bersepadu itu.

Menurut IHH, Nik Norzrul Thani juga memegang jawatan pengarah di Malaysia Rating Corporation Bhd, Cagamas Holdings Bhd, Amanah Saham Nasional Bhd, MARC Ratings Bhd, Zico Trust (M) Bhd, SD Guthrie Bhd (dahulunya dikenali sebagai Sime Darby Plantation Bhd), T7 Global Bhd dan Pertama Digital Bhd.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE