PUTRAJAYA, 17 Oktober- Tidak ada universiti yang boleh menolak mana-mana permohonan kemasukan pelajar miskin ke institusi pendidikan itu.
Jaminan itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, sekiranya wujud perkara itu, nama pelajar harus didaftarkan terlebih dahulu bagi melanjutkan pelajaran dan tindakan susulan perlu diusahakan kementerian atau jabatan berkaitan.
"Sementara dasar itu baik, kita kena dapat maklumat. Ini adalah arahan yang saya keluarkan tahun ini, pertama kali dalam sejarah."
"Tidak ada anak kita dari mana sahaja, daripada kaum mana sekali pun, yang miskin tidak mampu bayar yuran, yang ditolak oleh universiti. Dia daftar dulu, kemudian dia lapor," kata Anwar dalam ucapannya pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di Putrajaya.
Dalam pembentangan Belanjawan 2024, beliau mengumumkan bermula Januari depan, yuran pendaftaran masuk ke universiti awam dihadkan, tidak melebihi RM1,500.
Langkah itu selari dengan nilai pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah RM1,500.
(FOTO BERNAMA)
Sementara itu, subsidi bersasar yang diberikan kerajaan dalam Belanjawan 2024 bukan berniat untuk menekan golongan kaya, sebaliknya bagi membantu kebajikan golongan miskin dan sederhana.
Jelas Anwar Ibrahim, subsidi bersasar itu bagi mengurangkan beban rakyat bawahan dan harus diberikan kepada yang benar-benar layak sahaja.
"Kita sasar semula subsidi. Subsidi untuk 90 peratus rakyat yang layak dan sepatutnya dapat, kekal. Golongan 10 peratus terkaya itu dikurang atau ditarik subsidi. Dengan langkah itu kita jimat RM4.6 billion.
Ini yang disebut kecelaruan dasar. Kita bagi subsidi, semua dapat. Ini tidak betul. Maka, sebab itu kita sasar semula subsidi kepada semua rakyat yang layak," tambah Anwar.
Menurut beliau lagi, subsidi bersasar juga dilakukan bagi menerapkan konsep adil kepada rakyat khususnya dalam pemberian bantuan sekali gus melibatkan pengurusan kewangan negara.