fb fb fb fb fb

Unit Udara JBPM hantar makanan 6.2 tan ke pos Orang Asli

Foto Bernama

GUA MUSANG, 28 Oktober- Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan menghantar 6.2 tan bakul makanan di dua pos penempatan Orang
Asli di Gua Musang, Kelantan sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh.

Bekalan makanan seperti beras, tepung gandum, gula, biskut dan barangan makanan lain itu dihantar kepada 417 Ketua Isi Rumah (KIR) Orang Asli di Pos Gob dan Pos Simpor.


(Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff turut bersama
membantu menyusun bantuan makanan ke dalam Helikopter JBPM) 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff berkata, pihaknya bersama Jawatankuasa Bencana Daerah Gua Musang meminta bantuan Unit Udara JBPM untuk menghantar bantuan makanan kepada penduduk Orang Asli di dua buah pos paling jauh itu.

Katanya, misi bantuan itu juga mendapat kerjasama daripada anggota Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

"Jawatankuasa bencana daerah melalui Pejabat Tanah dan Gua Musang bersama dengan pusat khidmat DUN bekerjasama dan kita memohon Jabatan Bomba Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk menghantar ke pos-pos berkenaan. Alhamdulillah operasi ini bermula semalam kita ke Kampung Gawin dan juga ke pos simpor hari ini insya-Allah kita akan ke Kampung Jader dan juga pos keseluruhannya. Bakul makanan yang kita hantar ini ialah sebanyak 417 di mana melibatkan 417 KIR lah di pos berkenaan dan kita harap dengan penghantaran bekalan makanan ini mereka semua berjimat cermat. kita sedia ataupun kita hendak gunakan jika terputus bekalan makanan semasa musim tengkujuh,"katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM, Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Selangor, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd. Hasrizal Kamaruzzaman berkata, operasi menghantar bekalan makanan itu dihantar menggunakan helikopter Mi-17-IV dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah.

Katanya, penerbangan terbabit melibatkan 10 anggota yang yang diketuai juruterbang Leftenan Kolonel Tengku Ahmad Shaiful Isnawi Tengku Muhamad dan penolong juruterbang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Ahmad Hafiz Sulaiman.

Media Baharu