KOTA BHARU, 28 Oktober - Seramai 70,000 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi bersedia untuk dikerahkan bagi menangani kemungkinan bencana banjir akibat Monsun Timur Laut.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata bantuan dan aset juga melibatkan gabungan pelbagai agensi.
"Kalau berlaku masa yang betul-betul puncak itu iaitu waktu PRU...kita perlu hampir 80,000 anggota dan bila berlaku bencana kita perlu lebih kurang 20,000 anggota.
"Sebab itu, oleh kerana kita hanya ada 120,000 maka kita memohon supaya RELA, APM bantu. Jadi saya mohon kepada rakyat semua supaya berilah kepercayaan dan kita berdoa supaya tidak berlaku bencana yang besar," katanya dalam sidang media selepas menghadiri taklimat PRU15 dan persiapan menghadapi musim tengkujuh di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini.
Tambah Hamzah, kementeriannya telah mengenal pasti sebanyak 5,500 lokasi berisiko banjir di seluruh negara termasuk 186 kawasan berisiko fenomena lonjakan air.
“Kita telah mengkaji beberapa strategi untuk memastikan rakyat boleh meletakkan kepercayaan kepada PDRM kerana kita bersedia menghadapi kemungkinan ditimpa bencana akibat hujan lebat,” katanya.