fb fb fb fb fb

Unit Integriti Universiti Awam kini bawah LPU - Zambry

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Unit Integriti Universiti Awam (UIUA) kini diletakkan bawah Lembaga Pengarah Universiti (LPU) sebagai entiti bebas, selaras dengan usaha memperkukuh ketelusan dan pemantauan integriti dalam institusi pengajian tinggi.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata langkah itu adalah sebahagian daripada proses transformasi Universiti Awam (UA) bagi memastikan keseragaman dan kecekapan dalam menjalankan tugas.

“Secara umumnya, kita dapati Unit Integriti Universiti Awam ini tidak mempunyai keseragaman, termasuk dari segi bilangan penjawat awam dalam unit tersebut.

"Untuk memastikan unit ini bertindak lebih bebas dan telus, kita memutuskan untuk menempatkannya di bawah LPU. Saya akan memanggil semua pihak universiti bagi melaksanakan agenda transformasi ini,” katanya dalam sidang media di Parlimen, di sini, hari ini.

Pemerkasaan UIUA juga sejajar dengan Hala Tuju Pendidikan Tinggi 2025 di bawah Fokus 5: Governan dan Kepemimpinan.

Langkah lain yang turut dilaksanakan termasuk penambahan tenaga pakar dengan penglibatan pegawai daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pegawai Tadbir dan Diplomatik, serta Juruaudit bagi meningkatkan keupayaan penyiasatan dan pemantauan.

Juga penubuhan Jawatankuasa Integriti LPU bagi menangani isu tatakelola pengurusan tertinggi UA.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN