KUALA LUMPUR, 6 Mac- Dua anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) cedera dalam dua insiden berasingan selepas diserang oleh penjaja tidak berlesen yang enggan mematuhi arahan penguatkuasaan.
Menurut kenyataan DBKL, kejadian berlaku ketika anggota bertugas menjalankan pemantauan di Bazar Ramadan dan Aidilfitri di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Benteng, semalam.
Susulan insiden itu, dua laporan polis telah dibuat dan individu yang terlibat telah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
DBKL menegaskan penguatkuasaan penting untuk melindungi hak penjaja berlesen kerana peluang niaga di bazar telah dibuka secara adil dengan sewaan berpatutan.
"Selain itu, penjaja di lokasi yang tidak dibenarkan menyebabkan kesesakan, menghalang pejalan kaki serta menjejaskan kebersihan.
Oleh itu, keseimbangan antara kepentingan peniaga dan kesejahteraan warga kota sentiasa menjadi keutamaan.
Mengulas lanjut, tindakan penguatkuasaan hanya diambil selepas teguran dan notis dikeluarkan," kata kenyataan itu.
Bagaimanapun, segelintir individu bertindak secara provokatif hingga mencederakan petugas DBKL.
Justeru, tegas DBKL, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan agresif terhadap petugas yang menjalankan tugas demi kepentingan masyarakat.