KUALA LUMPUR, 6 Mac – Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) sedang meneliti cadangan untuk menaik taraf kelayakan pendidikan pendidik dalam usaha memperkasakan sistem pendidikan awal kanak-kanak.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang berkata penambahbaikan dari diploma ke Ijazah Sarjana Muda diyakini dapat meningkatkan kualiti pendidikan dan memberi manfaat menyeluruh kepada semua pihak.
“Sehubungan itu, sesi libat urus sedang dilaksanakan bagi mengumpul pandangan dan cadangan berkaitan perkara ini. Hasil kajian serta perbincangan akan dibawa kepada kementerian sebelum dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk pertimbangan, tertakluk kepada implikasi kewangan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Haji Kepli, di Dewan Rakyat, hari ini.
Ketika ini, 9,582 pendidik KEMAS memiliki diploma, manakala 1,271 pendidik telah memperoleh Ijazah Sarjana Muda.