KUALA NERANG, 6 Mac- Tradisi mengagihkan bubur lambuk di Masjid Tengku Sarafudin Badlishah, Kampung Pulau Kijang di sini telah berlangsung selama lebih 50 tahun dan kekal menjadi amalan tahunan setiap kali Ramadan.
Program itu yang bermula sejak tahun 1970-an terus mendapat sokongan ahli kariah dan orang ramai yang memberikan sumbangan bagi menjayakannya.
Setiausaha masjid, Ramli Talib memaklumkan sebanyak 300 hingga 400 bungkus bubur lambuk diagihkan kepada orang ramai khususnya kepada jemaah yang menunaikan solat asar di masjid.
"Setiap hari, ahli kariah akan bergotong-royong memasak tiga periuk besar bubur lambuk menggunakan adunan 16 jenis rempah ratus, ditambah dengan daging yang telah disediakan lebih awal sebelum Ramadan," katanya kepada RTM.
Beliau turut memaklumkan program berkenaan dijalankan dari 1 hingga 25 Ramadan dan pihak masjid bersedia menerima tempahan dengan kadar bayaran RM500 bagi setiap periuk.
Penduduk setempat mengakui keenakan bubur lambuk yang dihasilkan dengan aroma dan rasanya yang unik.
"Bahan dan sukatan yang digunakan dikekalkan sejak dahulu, menjadikannya juadah yang dinantikan setiap tahun," kata Ku Ahmad Ku Salleh, anak kariah.
Sementara itu, Naib Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) Datuk Seri Ghazali Ibrahim memuji kesungguhan jawatankuasa kariah dalam memastikan program bubur lambuk itu dapat diteruskan setiap tahun.
"Kerjasama erat dalam kalangan anak kariah dan sumbangan masyarakat membuktikan komitmen tinggi jawatankuasa dalam meneruskan tradisi ini," katanya.
Program mengagihkan bubur lambuk Masjid Tengku Sarafudin Badlishah terus menjadi simbol perpaduan dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat sepanjang Ramadan.