PAUH PUTRA, 8 November - Kebolehpasaran graduan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mampu capai 99 peratus dalam tempoh enam bulan lagi.
Manakala, sasaran 100 peratus pelajar mendapat pekerjaan boleh dicapai menjelang tahun 2025.
Naib Canselor UniMAP Profesor Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, trend peningkatan kebolehpasaran pelajar universiti itu dapat dilihat sejak beberapa tahun lalu.
Ini berikutan beberapa program yang telah di jalankan UniMAP termasuk program Industrial Advisery Panel (AIP) dan program sangkutan industri yang memberi impak kepada kualiti pelajar.
"Pensyarah-pensyarah daripada universiti juga kita buat latihan di industri, program sangkutan tiga bulan, enam bulan atau setahun di industri supaya mereka mempunyai pengalaman di industri.
"Supaya mereka dapat membawa teknologi baru pulang ke universiti dan sampaikan kepada pelajar-pelajar, ini antara program-program yang kita mahu kurangkan jurang di antara akademik dan industri," kata Dr. Zaliman, di sini.
Tambah beliau, sehingga kini, 70 peratus graduan yang akan berkonvo tahun ini didapati sudah mendapat pekerjaan dan akan meningkat dalam tempoh 6 bulan akan datang.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media sempena Istiadat Konvokesyen UniMAP ke-19 di Pauh Putra, Perlis.
Seramai 3,296 pelajar UniMAP daripada pelbagai peringkat termasuk doktor falsafah akan bergraduasi bermula 9 hingga 12 November ini.