KUCHING, 08 November - Penyertaan tiga negara iaitu Malaysia, Brunei Darulsalam dan Indonesia menerusi Program Bermukun se-Borneo 2024 diharap dapat mengangkat hiburan tradisi yang popular di rumpun Melayu itu hingga ke peringkat antarabangsa.
Ketua delegasi Radio Televisyen Brunei, Noor Hawadah Ramle berkata, tahun ini Malaysia atau Jabatan Penyiaran Negeri Sarawak amnya akan menjadi tuan rumah program itu bakal merealisasikan objektif utama mengetengahkan khazanah budaya dan tradisi khususnya kepada generasi muda.
"Penganjuran sedemikian berupaya menarik minat untuk menyertai program yang diadakan secara bergilir di ketiga-tiga negara, membolehkan peserta menghayati silang budaya dan kaum agar semangat perpaduan antara pelbagai bangsa dapat terus dipupuk," jelas beliau dalam temubual bersama SarawakFM di RTM Kuching hari ini.
Turut bersama dalam temubual itu iaitu Ketua delegasi Malaysia yang juga Pengarah Program Radio RTM, Saifuzzaman Yusop dan Ketua Delegasi Republik Indonesia dari Radio Republik Indoensia, Diana Rusnawati.
Terdahulu turut diadakan majlis sambutan delegasi dari ketiga-tiga negara serta disusuli lawatan ke konti-konti radio pelbagai Bahasa di RTM Kuching.