KUALA LUMPUR, 29 Oktober- Rakyat Malaysia sentiasa menunjukkan sokongan luar biasa terhadap masyarakat Palestin termasuk pengurusan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Naib Canselor UniMAP, Profesor Datuk Dr Zaliman Sauli mengadakan pertemuan dengan Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali bagi menyampaikan hasrat itu.
Dalam satu pertemuan yang sarat dengan makna dan komitmen berkenaan, UniMAP menawarkan sebanyak 25 biasiswa khas untuk pelajar Palestin meliputi penginapan, yuran pengajian dan wang perbelanjaan harian.
Biasiswa tersebut diharapkan dapat membantu pelajar Palestin yang masih menuntut di UniMAP agar mereka dapat menjalani pembelajaran dengan lebih selesa.
Zaliman Sauli berkata, pihaknya bukan hanya menyediakan bantuan kewangan, tetapi juga sokongan emosi dan moral kepada pelajar Palestin di UniMAP, selain percaya bahawa pendidikan adalah satu-satunya jalan untuk membentuk masa depan lebih baik.
Justeru, UniMAP bersedia untuk bersama-sama mengatasi sebarang cabaran yang dihadapi pelajar.
UniMAP turut menegaskan pengurusan, kakitangan serta pelajarnya sentiasa memberikan sokongan padu terhadap perjuangan rakyat Palestin dan mengecam tindakan kejam Israel, sekali gus mencerminkan semangat solidariti universiti dalam memperjuangkan hak asasi manusia dan keadilan global.