fb fb fb fb fb

UniMAP hantar misi bantuan ke Baling

PERLIS, 6 Julai - Susulan kejadian banjir lumpur dan kepala air yang melanda Kampung Iboi, Kupang di Baling dua hari lalu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengerahkan 15 sukarelawan ke kampung tersebut.

Ini bagi misi awal bantuan banjir di samping mengenal pasti kawasan dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang terlibat.

Misi yang menggunakan dua kenderaan Toyota Hilux dan satu van itu membawa bantuan makanan asas bernilai RM1500 untuk disalurkan ke PPS dan kepada dua pelajar UniMAP yang turut terjejas ekoran banjir tersebut.


(Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Mohd Fo'ad Sakdan
meletakkan barang sumbangan di dalam kenderaan)

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Mohd Fo'ad Sakdan berkata, fokus utama misi awal ini bagi memberikan sumbangan kepada mangsa banjir yang berada di PPS dan kawasan sekitar yang boleh diakses.

Manakala misi kedua dijangka pada 7 dan 8 Julai dengan penglibatan 100 sukarelawan menggunakan dua buah bas dan penumpuan bantuan adalah tugas-tugas pembersihan di kawasan kediaman penduduk setempat dan sekitarnya.

Beliau yang mengetuai misi ke Baling menyatakannya pada Majlis Pelepasan Ops Kasih Banjir Baling, disempurnakan Naib Canselor, Profesor Dr. Zaliman Sauli dan dihadiri pengurusan tertinggi universiti.

UniMAP prihatin kejadian yang menimpa penduduk di Baling dan komited untuk membantu meringankan bebanan yang ditanggung penduduk dan berharap misi bantuan yang dilaksanakan oleh UniMAP dan rakan-rakan universiti serta NGO akan mempercepatkan proses agar penduduk dapat kembali kepada kehidupan seperti biasa.

Media Baharu