(Pengguna lebuh raya juga digalak menggunakan aplikasi Waze atau Google Maps
untuk merancang perjalanan mereka)
KUALA LUMPUR, 6 Julai- Plus Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan hampir 2 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan setiap hari bersempena cuti perayaan Aidiladha bermula esok hingga Selasa depan.
Menurut Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, pengguna boleh merancang perjalanan dengan menggunakan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan sepanjang tempoh perayaan bagi mengelak kesesakan.
Menerusi kenyataan medianya beliau memaklumkan, pengguna lebuh raya dijangka mengalami tempoh perjalanan dua kali lebih panjang berbanding perjalanan biasa sekiranya mereka memilih untuk tidak meengikut jadual TTA.
Orang ramai dinasihatkan agar merancang perjalanan lebih awal dan membuat persiapan untuk menempuh perjalanan yang dijangka lebih sesak dan panjang.
Tambah kenyataan itu pengguna dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor dinasihatkan agar memasuki lebuh raya sebelum 10 pagi pada 7 hingga 10 Julai.
Bagi mereka yang menuju ke lokasi yang lebih dekat atau ke negeri lain dinasihatkan memasuki lebuh raya selepas 1 tengah hari.
Manakala perjalanan kembali semula ke Lembah Klang dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara), Johor dan negeri-negeri lain, pengguna dinasihatkan memasuki lebuh raya sebelum 9 pagi, pada 10 hingga 12 Julai.
(1.9 juta kenderaan dijangka guna Lebuhraya Utara-Selatan/Foto Fail)
Pengguna lebuh raya juga digalak menggunakan aplikasi Waze atau Google Maps untuk merancang perjalanan mereka.
Pastikan baki dalam kad Touch 'n Go atau e-Wallet mencukupi untuk transaksi tol dengan pilihan pembayaran sama ada menggunakan kad Touch 'n Go, SmartTAG atau RFID.
Pengguna lebuh raya juga dinasihat memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan baik dan selamat untuk perjalanan jauh selain mematuhi had kelajuan di lebuh raya.
Elakkan memandu terlalu rapat dengan kenderaan lain dan berehat sebentar untuk menyegarkan diri di kawasan rehat dan rawat (R&R).
Untuk mendapatkan maklumat trafik terkini boleh layari Twitter @PLUSTrafik, Aplikasi Plus, talian PLUSLine 1800-88-0000, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran radio utama negara.