JAKARTA, 15 September - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berhasrat membina kerjasama strategik dalam bidang teknologi pertahanan, penyelidikan serta pembangunan sumber manusia berkemahiran tinggi dengan pihak industri pertahanan di Indonesia.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, peluang kolaborasi itu dilihat mampu memperkukuh hubungan dua hala khususnya dalam pemindahan teknologi, program latihan industri pelajar, pembangunan penyelidikan, serta peluang inovasi bersama.
"UniMAP sentiasa komited dalam melahirkan graduan berwawasan global, berintegriti dan berdaya saing dalam sektor kejuruteraan, teknologi serta industri berimpak tinggi," titah baginda.
Baginda bertitah demikian semasa berangkat melawat PT Pindad yang merupakan pemain industri pertahanan dan pembuatan yang menghasilkan alat utama sistem senjata seperti senjata api dan peluru, serta produk komersial seperti kenderaan tempur, di sini.
Lawatan bersempena dengan International Leadership Mobility 2025 itu turut disertai Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, yang juga Pro Canselor UniMAP.
Tuanku Syed Faizuddin melihat kunjungan itu amat signifikan kerana ia membuka ruang bagi memperkukuh kerjasama tiga pihak utama iaitu Malaysia khususnya Perlis, Indonesia melalui PT Pindad, serta dunia akademia yang diwakili UniMAP.
Selain memberi manfaat kepada universiti dan industri, ia juga dapat menyumbang ke arah memperkukuh pertahanan dan keselamatan serantau, seiring dengan matlamat ASEAN dalam membina kestabilan dan kemajuan bersama.
Baginda bertitah, PT Pindad merupakan lambang kecemerlangan Indonesia dalam bidang pertahanan, teknologi ketenteraan dan inovasi industri yang membanggakan.