KUALA LUMPUR, 15 September - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan bantuan kepada penduduk terjejas banjir di Sabah disampaikan segera tanpa sebarang gangguan, selain meluluskan peruntukan tambahan RM10 juta.
Beliau berkata peruntukan itu disalurkan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi membaiki kemudahan asas serta membantu mangsa terkesan, selain RM11 juta yang telah disalurkan melalui kerajaan negeri.
"Saya telah mengarahkan seluruh jentera Kerajaan MADANI digerakkan dengan segera untuk membantu rakyat yang terjejas agar bantuan dapat sampai tanpa sebarang gangguan.
“Keutamaan kita adalah memastikan keselamatan, kebajikan dan kelangsungan hidup mangsa banjir dibela sebaiknya dengan tumpuan segera,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.
Datuk Seri Anwar berkata Kerajaan MADANI akan memastikan setiap keluarga terkesan menerima bantuan.
"Saya menyeru semua pihak bersatu dan berpadu tenaga serta mengutamakan semangat ihsan demi membantu rakyat seluruhnya.
"Zahirkan semangat kebersamaan dan kepedulian serta tanggungjawab bersama dalam menempuh ujian dahsyat ini," katanya.
Terdahulu, hujan lebat berterusan sejak awal pagi mengakibatkan berlakunya banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan sekitar pusat bandar raya Kota Kinabalu, Sabah.