fb fb fb fb fb

Tahap kelajuan WiFi di Politeknik Seberang Perai memuaskan

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil/ BERNAMA

PERMATANG PAUH, 15 September - Tahap kelajuan WiFi di Politeknik Seberang Perai (PSP) memuaskan dengan 554 titik akses tersedia bagi kemudahan pelajar mula beroperasi 15 Julai lepas.

Ia merupakan inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memperkukuh capaian Internet berkelajuan tinggi di kampus institut pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata purata kelajuan perkhidmatan WiFi di kampus tersebut sekitar 300 Mbps serta akses telah ditingkatkan kepada pelajar di kediaman hostel.

"Ini satu perkara yang baik. Kalau sebelum ini, terutama di residensi, mereka yang mungkin tinggal di tingkat-tingkat yang lebih tinggi tidak dapat WiFi, tapi sekarang kita telah sediakan untuk hampir setiap bilik.

"Jadi mereka boleh melakukan sama ada tugasan untuk tujuan mereka, melakukan kerja-kerja kajian, dan revision dan sebagainya dengan sangat-sangat mudah.

"... dan yang kami sediakan ini adalah menggunakan WiFi 7. Jadi, ia adalah antara peranti WiFi yang terbaru dan setakat ini tidak ada apa-apa masalah", katanya kepada media selepas meninjau pelaksanaan Projek Wi-Fi Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Politeknik Seberang Perai, Pematang Pauh.

Hadir sama,  Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa  dan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali.

Dalam lawatan tersebut, Datuk Fahmi turut beramah mesra bersama 70 pelajar politeknik sempena Kempen Internet Selamat (KIS), termasuk peserta yang menyertai secara dalam talian.

Dalam pada itu, beliau turut meminta MCMC untuk meneliti jumlah permohonan tambahan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi pemasangan titik akses WiFi di IPTA.

Tambahnya, kemudahan tersebut menunjukkan keberkesanannya dengan laporan yang diberikan kepada Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat, sebanyak 34,000 titik akses telah siap dipasang di kesemua IPTA seluruh negara.

"Jadi pihak KPT ada memohon sejumlah AP tambahan. Setengah kampus dalam fasa pertama dan kedua, mereka tidak memasukkan permohonan, tapi bila mereka lihat kampus-kampus yang telah berjaya, jadi mereka pun ingin turut bersama.

"Jadi saya telah minta supaya pihak MCMC meneliti permohonan tersebut dan kita cuba untuk laksanakan segera. Yang dipohon jumlahnya tidak boleh disahkan lagi kerana pihak MCMC perlu melakukan kajian teknikal terperinci terhadap lokasi kampus-kampus yang inginkan WiFi kampus tersebut", katanya.

ROSLINA BINTI DIN