MIRI, 15 September - Sempena sambutan Hari Malaysia, program Grab Konvoi telah dilancarkan di hadapan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen P.219 Miri, hari ini.
Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man hadir merasmikan serta melepaskan konvoi berkenaan yang bermula di Miri dan akan berakhir di Telok Melano pada 16 September.
Menurut Chiew, inisiatif itu bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme selain menjadi simbol perpaduan serta kebersamaan rakyat Malaysia, khususnya warga Sarawak.
“Miri amat berbangga kerana menjadi titik permulaan konvoi ini. Program seperti ini dapat memperkukuh semangat kebangsaan, menyatukan rakyat berbilang kaum serta menghargai jasa pejuang terdahulu dalam membina asas kemerdekaan dan pembentukan Malaysia,” katanya.
Beliau turut menzahirkan harapan agar peserta konvoi sentiasa selamat sepanjang perjalanan, di samping menjadikan program tersebut sebagai lambang Malaysia yang harmoni, bersatu padu dan berdaya maju.
Sebanyak 12 kereta Grab menyertai konvoi sempena sambutan Hari Malaysia itu.