BINTULU, 15 September - Projek pembinaan Jejambat Medan di Bintulu mesti disiapkan selewat-lewatnya Jun tahun depan bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di pusat bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Johnny Pang berkata, setakat ini kemajuan projek bernilai RM138 juta itu hanya mencapai 54.68 peratus.
“Kita dimaklumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memantau rapat projek ini setiap bulan, malah pengarah ada menyebut pemantauan juga dilakukan menerusi CCTV,” katanya ketika melawat tapak projek, hari ini.
Menurut Johnny, projek itu mengalami kelewatan 12 hari disebabkan beberapa cabaran termasuk kekurangan tenaga kerja.
Sementara itu, Pengarah JKR Sarawak, Dr Cassidy Morris mengarahkan kontraktor menambah syif kerja bagi mempercepatkan pembinaan.
“Kita benar-benar tidak puas hati dengan progres semasa dan percaya projek ini boleh dipercepatkan,” tegasnya.
Setakat ini, kira-kira 90 pekerja ditempatkan di tapak projek bagi melaksanakan kerja dalam dua syif setiap hari.