LONG LAMA, 15 September - Sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Dewan SJK (C) Kee Tee, Long Lama, hari ini bagi menempatkan penduduk yang terjejas akibat banjir di kawasan Pekan Long Lama, Daerah Telang Usan.
Pegawai Daerah Telang Usan, Ezra Uda memaklumkan, beberapa keluarga terpaksa dipindahkan selepas kediaman mereka dinaiki air dan tidak lagi selamat untuk diduduki. PPS itu mula beroperasi pada pukul 3.30 petang, sementara jumlah sebenar mangsa masih dalam proses pengemaskinian.
Fenomena air pasang besar dan hujan lebat berterusan sejak 5 September lalu menyebabkan paras air meningkat antara 0.30 hingga 1.52 meter di beberapa lokasi.
Antara kawasan terjejas termasuk SMK Long Lama (1.22 meter), Jalan Layang-Layang (1.52 meter), SK Ubong Imang (1.07 meter), Waterfront Long Lama (0.30 meter), Stesen Sarawak Energy (0.91 meter) serta Stesen Minyak Petronas (0.30 meter).
Pejabat JKR, Sarawak Forestry Corporation (SFC), Balai Polis dan Pejabat Penerangan Long Lama turut mencatatkan paras air setinggi 0.61 meter.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marudi, Leftenan Pertahanan Awam Mirwan Shah Masri, empat anggota APM telah digerakkan bagi membuat pemantauan menggunakan bot fiber bersama peralatan keselamatan.
Setakat ini keadaan masih terkawal, namun penduduk diingatkan agar sentiasa peka terhadap paras air dan segera berpindah sekiranya keadaan bertambah buruk.
Ezra dalam pada itu berharap kerjasama semua pihak dapat memastikan kelancaran pengurusan serta penyelarasan bantuan di pusat pemindahan tersebut.