BEIJING, 15 September- Malaysia kini melangkah lebih berani ke pentas ekonomi global dengan memperluas jaringan perdagangan dan pelaburan melalui pelbagai kerjasama strategik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi satu temu bual eksklusif bersama stesen televisyen antarabangsa CGTN baru-baru ini, beliau berkata, penyertaan awal Malaysia dalam Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), atas jemputan Presiden China, Xi Jinping telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan.
"Kami telah melihat keberkesanannya, dan kami menantikan kerjasama yang lebih lanjut dengan SCO.
"Namun, anda lihat, keseluruhan strategi ketika ini, termasuk dari pihak Malaysia dan saya menggalakkan rakan-rakan saya di ASEAN untuk membuka hubungan perdagangan dan pelaburan serta meluaskan asas pasaran.
"Kita ada ASEAN, dan kita ada ASEAN+, iaitu dengan China, Korea, Jepun dan negara-negara lain. Tetapi yang lebih penting ialah mewujudkan mekanisme baharu, bentuk libat urus baharu seperti SCO dan BRICS," katanya.
Katanya, usaha itu merupakan pelengkap kepada usaha memperluas pasaran.
Mengulas mengenai Sidang Kemuncak ASEAN yang bakal berlangsung Oktober ini, Datuk Seri Anwar berkata, beberapa pemimpin global dari negara-negara seperti Brazil, Afrika Selatan, Itali dan Kanada dijangka hadir.
Kehadiran pemimpin antarabangsa itu dilihat sebagai satu perkembangan luar biasa yang mencerminkan kepentingan rantau Asia Tenggara dalam landskap geopolitik dunia.
Dalam hal pembangunan infrastruktur, Datuk Seri Anwar turut mengulangi komitmen Malaysia untuk membincangkan kemungkinan melanjutkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 25 kilometer ke Thailand.
"Saya berada di sini untuk membincangkan kemungkinan untuk melanjutkannya sehingga ke sempadan Thailand. Panjangnya mungkin hanya sekitar 25 kilometer, tetapi yang penting adalah kita tidak berhenti setakat di hujung utara Malaysia," katanya.
Menurut beliau, sambungan ke sempadan itu akan membuka peluang baharu dari segi perdagangan dan logistik dua hala.
"Kita mahu melanjutkannya hingga ke sempadan Thailand. Diharapkan, dengan kerajaan Thailand yang baharu atau kerajaan sedia ada memandangkan mereka sedang melalui proses perubahan, kita akan berbincang mengenai kemungkinan meluaskannya ke luar sempadan,"katanya.
Sementara itu, dalam bidang automotif, Malaysia melihat peluang besar untuk menjadi hab pengeluaran kenderaan elektrik (EV) hasil kerjasama jangka panjang antara Proton dan syarikat gergasi automotif China, Geely.
Menurut Datuk Seri Anwar, beliau telah berbincang secara langsung dengan Pengerusi Geely, Li Shufu, dan mengesahkan, rancangan pengembangan besar-besaran akan dilaksanakan dalam masa terdekat bermula dengan model hibrid, sebelum melangkah penuh ke arah EV.