fb fb fb fb fb

UNIFOR lulus peruntukan RM19.07 juta, manfaat 107 projek rumah ibadat bukan Islam di Sarawak

Majlis Penyerahan Cek Bantuan Dana Rumah Ibadat Agama-Agama Lain Fasa 2 di Bangunan UNIFOR, Kuching

KUCHING, 21 Oktober - Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) meluluskan peruntukan berjumlah RM19.07 juta bawah Fasa Dua, yang akan memberi manfaat kepada 107 projek rumah ibadat bukan Islam di seluruh Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, setakat ini jumlah keseluruhan peruntukan yang telah disalurkan melalui Fasa Satu dan Fasa Dua mencecah RM35.77 juta, daripada keseluruhan peruntukan RM90 juta yang diluluskan kerajaan negeri.

"Sebanyak RM19.07 juta telah diluluskan bawah Fasa Dua, melibatkan 107 projek. Secara keseluruhan, RM35.77 juta telah diagihkan daripada peruntukan RM90 juta.

"Fasa Pertama dan Kedua memberi manfaat kepada 171 projek rumah ibadat. Ini bermakna masih ada baki dana yang akan disalurkan dalam fasa seterusnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Bantuan Dana Rumah Ibadat Agama-Agama Lain Fasa 2 di Bangunan UNIFOR, di sini hari ini.

Datuk Amar Uggah turut menegaskan bahawa kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut jadual dan mencapai matlamat menyediakan rumah ibadat yang kondusif.

"Setiap ringgit yang disalurkan perlu diterjemahkan dalam bentuk pembangunan fizikal yang memberi manfaat kepada komuniti agama masing-masing," katanya lagi.

Kerajaan negeri komited memastikan semua komuniti agama menikmati kemudahan yang selesa dan selamat, selaras dengan aspirasi perpaduan serta keharmonian yang menjadi tunjang kestabilan Sarawak dan menyokong pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

UNIFOR juga akan melaksanakan pemantauan berterusan bagi memastikan semua projek pembinaan mematuhi spesifikasi ditetapkan serta menepati piawaian keselamatan.

Datuk Amar Uggah turut memaklumkan bahawa Fasa seterusnya bantuan dana UNIFOR akan disalurkan pada bulan November depan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI