fb fb fb fb fb

PM ucap tahniah kepada Sanae Takaichi, PM wanita pertama Jepun

PM Anwar nantikan kehadiran Sanae Takaichi ke Kuala Lumpur sempena Sidang ASEAN minggu hadapan

KUALA LUMPUR, 21 Oktober - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Sanae Takaichi atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Jepun yang baharu. 

Datuk Seri Anwar berkata, pelantikan Takaichi sebagai Perdana Menteri wanita pertama Jepun merupakan detik bersejarah dalam politik negara matahari terbit itu.

"Pelantikan Takaichi mencerminkan evolusi demokrasi Jepun yang semakin matang.

“Ini adalah satu mercu tanda penting dalam landskap politik Jepun, menggambarkan keteguhan semangat beliau serta perubahan positif dalam sistem demokrasi negara tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi ASEAN turut menegaskan bahawa Malaysia amat menghargai Perkongsian Strategik Komprehensif dengan Jepun yang berteraskan kepercayaan, inovasi dan komitmen bersama terhadap kestabilan serantau serta pertumbuhan mapan.

“Saya menantikan kehadiran Perdana Menteri Takaichi ke Kuala Lumpur minggu hadapan bagi Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun, di mana kedua-dua negara akan terus memperkukuh hubungan ini,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, atas lawatannya ke Malaysia awal tahun ini yang disifatkan mengukuhkan lagi hubungan persahabatan antara kedua-dua negara.

GRACE AISYAH KEDAYAN