KUALA LUMPUR 21 Oktober - Tindakan tegas akan diambil jika terdapat mana-mana pihak ingkar arahan pihak berkuasa berkaitan perhimpunan awam semasa penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya telah menerima maklumat awal berhubung kemungkinan penganjuran acara atau perhimpunan tertentu yang dijangka berlaku ketika sidang berkenaan diadakan.
"Saya menegaskan bahawa jangan ganggu acara, jangan ada aktiviti yang menganggu acara, jangan ada aktiviti yang mengganggu laluan acara, dan paling penting jangan ada acara yang menganggu ketenteraman awam", katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Sidang kali ini disifatkan antara tugasan terbesar buat PDRM, khususnya bagi Polis Kuala Lumpur selaku hos utama yang bertanggungjawab menjaga keselamatan, ketenteraman awam dan pergerakan delegasi sepanjang persidangan.
Seramai 10,500 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan melibatkan pelbagai jabatan serta pasukan bantuan dari seluruh negara.
Sebanyak 17 hotel di sekitar Kuala Lumpur turut dijadikan tempat penginapan delegasi luar negara, termasuk pemimpin dan pegawai kanan ASEAN.
Beberapa laluan utama di kawasan segi tiga emas seperti KLCC dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur akan ditutup secara berperingkat bagi memberi laluan kepada pergerakan konvoi rasmi.