fb fb fb fb fb

Abdul Rashid kekal terajui Tabung Haji dua tahun lagi berkuat kuasa 20 Disember

Tan Sri Abdul Rashid Hussain kekal menerajui Tabung Haji (TH) sebagai Pengerusi TH bagi tempoh dua tahun lagi

KUALA LUMPUR, 21 Oktober - Tan Sri Abdul Rashid Hussain kekal menerajui Tabung Haji (TH) sebagai Pengerusi untuk tempoh dua tahun lagi, berkuat kuasa 20 Disember ini.

TH dalam kenyataannya hari ini berkata, pelantikan semula itu mencerminkan keyakinan berterusan kerajaan terhadap kepimpinan Abdul Rashid yang berjaya membawa reformasi strategik dan tadbir urus kukuh.

Ini sekali gus menjadikan TH institusi kewangan Islam yang lebih utuh serta mampan.

"Sejak menerajui TH pada 20 Disember 2023, Abdul Rashid memacu pelbagai pencapaian utama termasuk memperkukuh kedudukan kewangan dan meningkatkan pulangan kepada pendeposit.

“Keuntungan berjumlah RM2.92 bilion berjaya diagihkan kepada pendeposit bagi tahun kewangan 2024, selain peningkatan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) kepada RM95.06 bilion,” menurut kenyataan itu.

TH turut mencatat kejayaan di peringkat antarabangsa apabila dianugerahkan Labaytum Diamond Award oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi pada Musim Haji 1446H/2025M.

Anugerah itu merupakan pengiktirafan tertinggi bagi agensi pengurusan haji.

Sementara itu, Abdul Rashid merakamkan penghargaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar atas kepercayaan yang diberikan untuk meneruskan transformasi TH.

“Alhamdulillah, saya amat berbesar hati untuk terus berkhidmat bersama warga TH dalam memperkukuhkan kedudukan kewangan institusi ini melalui inovasi dan tadbir urus terbaik demi manfaat pendeposit dan jemaah haji,” katanya.

Beliau menegaskan, matlamat utama adalah menjadikan TH sebagai institusi simpanan Islam yang dihormati agar terus menambah baik tadbir urus dan memberi manfaat kepada umat Islam di negara ini.

GRACE AISYAH KEDAYAN