KUALA LUMPUR, 21 Oktober - Kehadiran Presiden Rusia, Vladimir Putin ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini akan diketahui hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah menghantar jemputan rasmi kepada Putin dan dalam pertemuan di Beijing, China baru-baru ini, pemimpin Rusia itu menyatakan kesediaannya untuk hadir.
"Buat masa ini, beliau dijadualkan menghantar Timbalan Perdana Menteri bagi mewakili Rusia. Namun kita akan tahu hari ini sama ada beliau sendiri akan hadir. Saya fikir kemungkinannya ada kerana beliau menyatakan minat untuk datang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Forum Ilmu PNB 2025 di ibu negara hari ini.
Setakat ini, penyertaan rasmi Rusia ke sidang tersebut akan diketuai Timbalan Perdana Menteri negara itu.
