fb fb fb fb fb

Alumni PLKN 3.0 diberi merit tambahan khas dalam permohonan kerja sektor awam

Perbarisan Tamat Latihan PLKN 3.0 Siri 3/2025 di Padang Kawad Rejimen 505 Askar Wataniah, Pekan

PEKAN, 21 Oktober - Alumni Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan diberikan merit tambahan khas dalam proses pertimbangan permohonan pekerjaan di sektor awam.

Panglima 4 Briged Mekanize, Brigedier Jeneral Datuk Wan Mohd Faizal Shahrin Wan Mohamad Fablillah berkata, pelaksanaan merit tambahan khas itu merupakan inisiatif kerajaan membuka laluan kerjaya kepada alumni.

Beliau berkata inisiatif itu juga mampu menarik lebih ramai belia untuk menyertai PLKN pada masa akan datang.

"Merit ni merupakan institusi kerajaan yang telah digariskan untuk memberi ruang dan peluang kepada alumni PLKN untuk mencari ruang-ruang pekerjaan yang baru lepas habis akademik. Itu satu platform yang kita boleh gunakan, salah satu perkara yang menarik untuk lebih ramai yang menyertai PLKN pada masa yang datang. 

"Sekurang-kurangnya, ada sesuatu yang kerajaan gariskan untuk membolehkan ada satu perkara yang membolehkan ada ruang untuk mereka dapat pekerjaan yang lebih mudah", katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Upacara Perbarisan Tamat Latihan PLKN 3.0 Siri 3/2025 yang diadakan di Padang Kawad Rejimen 505 Askar Wataniah, Pekan.

Pada program tersebut seramai 419 pelatih telah menamatkan Latihan di Kem Rejimen 505, Pekan, Pahang  bermula 7 September sehingga 21 Oktober 2025.

Melalui merit tambahan khas, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menetapkan kuota khas sebanyak 30 peratus kepada alumni yang menduduki Penilaian Memasuki Perkhidmatan Awam (PSEE) untuk dipertimbangkan ke peringkat seterusnya.

Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) pula mengiktiraf Sijil PLKN 3.0 sebagai dokumen sokongan dengan pemberian merit sehingga lima markah bagi penglibatan kokurikulum.

Selain itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) menyediakan keutamaan peratus kuota temu duga kepada alumni yang melepasi tapisan asas PSEE.

Suruhanjaya Pasukan Polis (SP Polis) turut menawarkan tambahan satu peratus merit di peringkat temuduga kepada alumni yang memenuhi syarat asas pelantikan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Manakala, Majlis Angkatan Tentera Malaysia (MAT) mempertimbangkan merit khas kepada alumni untuk pemilihan sebagai Perajurit Muda atau Pegawai Kadet, tertakluk kepada syarat pelantikan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sementara itu, dalam majlis tersebut Anugerah Wiramuda Ulung diberikan kepada Chang Xiang Zhao, 23 tahun selaku pelatih lelaki terbaik.

Menurut Chang Xiang Zhoa, dia terharu kerana menerima pengiktirafan tersebut dan menyifatkan pencapaian itu sukar diperolehi.

"Saya rasa amat gementar dan juga amat terharu kerana bukan benda yang senang untuk dapat. Saya hendak memberikan hormat kepada semua jurulatih yang telah mengajar saya dan memberi tungkus lumus memberi didikan kepada kita semua", katanya.

Chang Xiang Zhoa yang baru menamatkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Sarjana Muda Pendidikan, menyifatkan program itu mampu membantu dirinya mendisiplinkan diri untuk mencapai cita-cita dan matlamat hidup.

ROSLINA BINTI DIN