HEP Bakun diiktiraf paling mampan di dunia – IHA

KUCHING, 21 Oktober – Empangan Hidroelektrik (HEP) Bakun diiktiraf sebagai empangan mampan di dunia apabila menerima hadiah utama Anugerah Blue Planet 2025 oleh Persatuan Hidrokuasa Antarabangsa (IHA).

RINGKASAN BERITA AI
  • HEP Bakun menerima Anugerah Blue Planet 2025 oleh Persatuan Hidrokuasa Antarabangsa (IHA) sebagai empangan mampan dunia.
  • Pengiktirafan berdasarkan penilaian Hydropower Sustainability Standard (HSS) meliputi dasar korporat, pelaksanaan lapangan dan penglibatan komuniti.
  • Bakun turut dianugerahkan pensijilan perak HSS, menghargai usaha pemuliharaan biodiversiti, daya tahan iklim dan tadbir urus.
  • Sarawak Energy melaksanakan pelan tindakan bersasar sejak mengambil alih 2017, memperkukuh penglibatan komuniti, kualiti air dan keselamatan empangan.

Empangan terbesar di Asia Tenggara itu mendahului senarai penerima selain, Projek Hidrokuasa Coire Glas (Scotland, UK) menerima kategori simpanan pam (pumped storage) dan Projek Hidrokuasa Mai Beni (Nepal) dalam kategori hidrokuasa berskala kecil (small hydropower).

Pengiktirafan itu diterima pada 9 September lalu di Paris berdasarkan penilaian bebas Piawaian Kelestarian Hidrokuasa atau Hydropower Sustainability Standard (HSS) termasuk aspek dasar korporat, pelaksanaan lapangan dan penglibatan komuniti.

Anugerah itu juga diberikan bagi menghargai pencapaian cemerlang Empangan Bakun dalam pembangunan tenaga hidro yang lestari.

Dalam perkembangan sama, Empangan Bakun turut menerima pensijilan perak HSS yang diumumkan semasa Sustainability and Renewable Energy Forum, SAREF 4.0 di Kuching, juga berlangsung pada awal bulan lepas.

Ia sebagai penghargaan kepada projek Bakun dalam pemuliharaan biodiversiti, daya tahan iklim serta tadbir urus.

Kedua-dua anugerah itu disampaikan pagi tadi di Kompleksi Satria Pertiwi kepada Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili.

Turut hadir Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi serta Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy & PETROS), Datuk Ibrahim Baki.

Empangan Bakun yang berkapasiti 2,520 megawatt, siap pada 2014 telah melalui pelbagai penambahbaikan besar dari segi amalan alam sekitar dan tanggungjawab sosial.

Penilaian pada tahun 2024 telah mengenal pasti beberapa bidang yang perlu diperkukuh, termasuk penglibatan komuniti, kualiti air dan keselamatan empangan.

Susulan itu Sarawak Energy yang mengambil alih empangan pada 2017, kemudiannya melaksanakan pelbagai pelan tindakan secara bersasar bagi menangani isu-isu berbangkit, yang akhirnya membawa kepada pensijilan Perak (Silver Certification) bawah HSS pada 2025.