fb fb fb fb fb

UNICEF, Malaysia sambut 70 tahun komitmen perjuang kesejahteraan kanak-kanak

Hari kanak-kanak sedunia disambut setiap 20 November /FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 November - Tabung Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Malaysia pada Rabu memperingati 70 tahun perkongsian mereka dengan memperbaharui komitmen memperjuangkan hak dan kesejahteraan kanak-kanak di seluruh negara sempena sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia.

Wakil UNICEF ke Malaysia, Robert Gass yang juga Wakil Khas ke Brunei Darussalam berkata acara bersejarah itu meraikan kerjasama transformasi yang telah memajukan bidang penjagaan kesihatan, pendidikan, dan dasar mesra kanak-kanak di Malaysia.

“Perkongsian ini sentiasa didorong oleh satu misi: membayangkan dan mencipta dunia yang lebih baik untuk setiap kanak-kanak. Bersama-sama, kita telah merealisasikan aspirasi ini.

Hari Kanak-Kanak Sedunia adalah peluang untuk merenung pencapaian kita dan cabaran yang akan datang. Masa depan adalah milik kanak-kanak, tetapi kita bertanggungjawab membuka jalan ke arah itu,” katanya dalam ucapan pembukaan pada acara sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia dan ulang tahun ke-70 UNICEF di sini.

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, Penyelaras Residen UNICEF bagi Malaysia, Singapura, dan Brunei Darussalam Karima El Korri, serta aktivis sosial, Datin Marina Mahathir.

Mengimbau inisiatif awal, Gass menekankan sumbangan UNICEF seperti menyediakan susu berkhasiat, vaksin BCG, dan menubuhkan klinik desa untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan bagi komuniti luar bandar.

Beliau berkata, inisiatif pada tahun 1960-an dan 1970-an, termasuk kempen vaksinasi besar-besaran dan pengintegrasian kanak-kanak kurang upaya penglihatan ke sekolah, menjadi asas kepada dasar pendidikan wajib di Malaysia.

Menjelang 1990-an, kadar kematian kanak-kanak menurun lima kali ganda berikutan langkah kos efektif diambil seperti pemantauan tumbesaran dan penyusuan susu ibu.

“Kerjasama ini telah memainkan peranan penting dalam memastikan tiada kanak-kanak tercicir. Dengan berganding bahu, kita mencipta peluang untuk kanak-kanak berkembang maju,” katanya.

Gass turut menyatakan pencapaian terkini termasuk Malaysia menjadi negara pertama di Rantau Pasifik Barat WHO yang menghapuskan penularan HIV dan sifilis daripada ibu kepada anak pada 2018.

Pada 2022, Petaling Jaya diiktiraf sebagai bandar mesra kanak-kanak pertama di Malaysia di bawah Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak UNICEF, dengan usaha serupa sedang dilaksanakan di Sarawak, Pulau Pinang, dan Johor.

“Bandar mesti menjadi tempat di mana kanak-kanak dapat membesar dengan selamat serta mendapat akses kepada sumber yang mereka perlukan. Saya teruja melihat majlis perbandaran lain turut menyertai perjalanan ini,” kata Gass.

Bertemakan “Reimagine the Future”, acara itu menekankan komitmen UNICEF untuk membangunkan ruang bandar mesra kanak-kanak, menyokong tindakan iklim yang diterajui belia, dan memperjuangkan perlindungan sosial.

Hari Kanak-Kanak Sedunia disambut setiap tahun pada 20 November bagi meningkatkan kesedaran tentang hak dan kesejahteraan kanak-kanak di peringkat global. -BERNAMA

Trainee