fb fb fb fb fb

Integriti, bertanggungjawab tunjang kepercayaan masyarakat terhadap PDRM - Ayob

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 November- Kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku rasuah dan salah guna kuasa.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata budaya kerja yang berintegriti menjadi pemangkin kepada transformasi persepsi masyarakat yang lebih positif dan memberikan sepenuh kepercayaan kepada PDRM sebagai agensi penguat kuasa undang-undang negara yang utama.

"Jadikan diri kita sebagai contoh terbaik kepada masyarakat. Tindakan kita dinilai bukan hanya berdasarkan hasil kerja, tetapi juga cara kita melaksanakannya.

Setiap laporan, siasatan dan interaksi dengan orang awam haruslah dikendalikan dengan adil, telus dan bertanggungjawab," kata Datuk Seri Ayob Khan, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan Tolak Rasuah Sempena Sambutan Bulan Integriti Polis Diraja Malaysia 2024 di Bukit Aman, petang tadi.

Seramai 50 orang pegawai dan anggota PDRM menerima Sijil Tolak Rasuah SPRM serta ganjaran kerana berjaya melaporkan dan memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan kes rasuah oleh SPRM.

Antara penerima yang ditemui menjadikan pengiktirafan ini sebagai satu pencetus semangat untuk meningkatkan lagi integriti mereka dalam menjalankan tugas.

"Peringatan untuk diri saya juga supaya apabila menjalankan tugas perlu sentiasa bertanggungjawab serta berintegriti tinggi," kata ASP S. Robert a/l Santhanam.

"Saya harap kita terus bekerja dengan berintegriti dan tunjukkan semangat berpasukan yang tinggi untuk kita memantapkan lagi pencapaian pada masa akan datang," kata Lans Koperal Ahmad Azzim Junaidi.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM