fb fb fb fb fb

Fahami peranan pengauditan, tingkat ketelusan tatakelola - JAN

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 20 November- Semua sektor kerajaan perlu memahami sepenuhnya fungsi dan peranan pengauditan, agar tadbir urus dapat dilaksanakan secara beretika.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata kerjasama semua pihak diperlukan agar ia kekal relevan dalam mengukuhkan kepercayaan orang ramai terhadap tadbir urus.

"Ini adalah era akauntabiliti. Kalau selama ini selamba, dalam keadaan tidak diganggu. Sekarang ini, semua syarikat-syarikat kerajaan perlu bersedia dengan dokumentasi data-data berkaitan untuk diserahkan serta diaudit.

"Kalau tiada apa-apa isu, ia hanya audit biasa," kata Datuk Seri Wan Suraya, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam satu Dialog Integriti: Tatakelola Dan Tadbir Urus Beretika bersama Ketua Audit Negara, di sini.

Dialog yang dianjur sempena bulan integriti itu turut menekankan usaha negara dalam mempergiat peranan audit agar lebih kukuh daripada segi tadbir urus dan tatakelola sekali gus memantapkan pembangunan negara.

Dalam pada itu, Datuk Seri Wan Suraya turut menekankan tiga elemen utama yang perlu disediakan oleh 1,856 badan dan syarikat bukan kerajaan (GLC) untuk diaudit Jabatan Audit Negara (JAN).

Ini termasuk penyata kewangan, objektif penubuhan syarikat dan tatakelola manakala dokumentasi mengenainya perlu bagi mengelakkan ketidakaturan yang serius.

"Sebenarnya, kalau entiti itu tidak pernah diaudit sebelum ini, dia sepatutnya bersedia untuk diaudit bila-bila masa sahaja.

Pendekatan yang kita perkenalkan sedang dilaksana, kita akan audit semua sistem pendigitalan yang dibangunkan JAN. Ada yang kata kenapa Datuk nak perbaiki, anda kena bersedia," tambah Datuk Seri Wan Suraya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM