KUALA LUMPUR, 10 Disember- Undang-undang Kebebasan Maklumat (FOI) akan dibentangkan di Parlimen pada pertengahan tahun depan.
Keputusan itu dibuat selepas tujuh sesi libat urus komprehensif bersama 1,500 pakar dan pihak yang berkaitan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata ia hasil penglibatan komprehensif wakil daripada agensi kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil (CSO), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan undang-undang, ahli akademik dan pakar antarabangsa dari Australia, Kanada, Afrika Selatan dan Indonesia.
"Usaha kerjasama ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memupuk tadbir urus yang telus, inklusif dan bertanggungjawab. Dengan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, Kerajaan sedang membangunkan undang-undang FOI yang akan sejajar dengan keperluan dan aspirasi Malaysia.
"Kesimpulannya, pelan tindakan negara mengenai perniagaan dan hak asasi manusia meluaskan akses kepada keadilan melalui bantuan guaman dan penyelesaian pertikaian alternatif, memajukan ketelusan dengan membangunkan FOI, memperkukuh SUHAKAM, dan memastikan ruang siber yang lebih selamat menunjukkan komitmen kerajaan MADANI ini untuk menegakkan hak asasi manusia dan memupuk masyarakat yang lebih selamat dan adil.
Tambah beliau, Rang Undang-undang baharu ini membolehkan rakyat mengakses maklumat mengenai mana-mana kementerian atau agensi kerajaan.
Bagaimanapun, maklumat berkaitan data peribadi, ancaman keselamatan negara, pertahanan dan hubungan diplomatik akan dikecualikan.
Beliau berkata demikian dalam ucapan majlis perasmian Forum Hari Hak Asasi Manusia 2024 di ibu negara.
Datuk Seri Azalina turut menyentuh mengenai Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 yang sedang dirancang.
Fokus utama akta tersebut adalah untuk memastikan keselamatan digital dengan mendidik masyarakat tentang kawalan kendiri dalam penggunaan platform atas talian. Ia termasuk langkah seperti penyediaan "kill switch", yang membolehkan pengguna mengawal atau menghentikan aktiviti akaun untuk menangani ancaman seperti penipuan dan buli siber.
Azalina juga menegaskan bahawa akta itu bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara tetapi untuk memastikan tanggungjawab diambil atas sebarang kenyataan atau tindakan yang melanggar undang-undang, seperti fitnah atau penyebaran bahan berbahaya.
Undang-undang berkenaan juga akan melibatkan kajian sosial dan perbincangan dengan pihak berkepentingan sebelum dibentangkan di Parlimen.