fb fb fb fb fb

PPZ-MAIWP terima zakat perniagaan, RM27.6 juta

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar

KUALA LUMPUR, 10 Disember - Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) telah menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah hampir RM28 juta daripada 21 buah syarikat melalui Majlis Zakat Korporat 2024. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, jumlah itu menyumbang kepada peningkatan jumlah kutipan kepada lebih RM123 juta bagi Januari hingga November tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

"Majlis ini menjadi platform simbolik bagi penyerahan zakat perniagaan syarikat-syarikat kepada PPZ-MAIWP untuk haul 2023 dan 2024. Ini sebagai satu isyarat bahawa syarikat-syarikat ini ada keyakinan dengan usaha-usaha yang dibuat PPZ-MAIWP untuk mengagihkan zakat kepada golongan asnaf yang memerlukan bantuan.

"Jadi saya ucapkan syabas dan tahniah kepada PPZ-MAIWP dan MAIW sendiri atas keyakinan yang diberikan oleh syarikat-syarikat ini untuk menyumbang ataupun melaksanakan tanggungjawab zakat," kata Dr. Na’im.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Zakat Korporat 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).  

Tambahnya, kutipan zakat PPZ-MAIWP bagi tempoh Januari hingga November lalu mencatatkan jumlah RM818 juta, meningkat sebanyak 8.8 peratus berbanding RM751 juta bagi tempoh sama pada 2023.

Antara penyumbang terbesar pada kali ini termasuklah Telekom Malaysia Berhad (TM), MBSB Bank Berhad dan Kumpulan Wang Sumbangan Modal Pembentungan (KWSMP).

Beliau turut menggesa orang ramai dan syarikat korporat supaya membayar zakat agar hasilnya dapat membantu lebih ramai rakyat Malaysia yang memerlukan dan terkesan akibat musibah banjir.

TETITIA YUSOFF