fb fb fb fb fb

Hakim syarie diseru berani, adil buat keputusan – Menteri Agama

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar

KUALA LUMPUR, 10 Disember - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menjunjung penuh titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang menuntut hakim syarie supaya berani membuat keputusan secara adil berlandaskan ajaran Islam walaupun ada pihak yang cuba mempertikai. 

Tegas beliau, keberanian membuat keputusan sememangnya wajar dilakukan oleh hakim syarie, bukan saja di Selangor tetapi di seluruh negara dengan adil tanpa gentar.

"Alhamdulillah saya pun lama dalam kehakiman syariah, jawatan saya sebagai ketua pengarah, sebagai ketua hakim syarie, jawatan kehakiman syariah Malaysia pun memang saya kerap mengarahkan supaya hakim-hakim syarie membuat keptusan yang berani tanpa sebarang pengaruh.

"Sebab itu saya sokong sangat dan saya menjunjung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Insha-Allah kapasiti saya sebagai menteri akan pastikan supaya mengingatkan semua hakim-hakim syarie ini untuk melaksanakan tanggungjawab membuat keputusan dan penghakiman dengan seadil adilnya," kata Dr Na’im.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Zakat Korporat 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini.

Selain itu, beliau turut mengingatkan para hakim syarie supaya membuat keputusan segera dalam menyelesaikan sesuatu kes agar tidak berpanjangan.

Sebelum ini, Sultan Sharafuddin bertitah, semua hakim syarie perlu menjalankan kuasa kehakiman selaras dengan seruan Allah dan menjauhi kezaliman serta menegakkan keadilan walaupun ada pihak cuba mempertikai bidang kuasa dan keputusan Mahkamah Syariah.

TETITIA YUSOFF