KUALA LUMPUR, 19 November- Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menyeru agar semua pihak berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu menaikkan harga makanan.
Jelasnya, sebarang pengumuman kenaikan harga tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya dan perlu melalui justifikasi kukuh tanpa ada elemen pencatutan.
"Sebarang kenaikan perlulah bersandarkan kepada fahami akad itu. Sebarang kenaikan perlu melibatkan kos langsung dan tidak boleh merata buat pengumuman umum sahaja.
Kalau ada naik, kita akan panggil. Nyatakan kos-kos langsung yang menyebabkan mereka perlu untuk menaikkan harga," kata Armizan kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau menjelaskan demikian ketika ditanyakan berkenaan isu cadangan kenaikan harga restoran India Muslim atau mamak di Johor.
Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 300 pengusaha restoran India Muslim atau mamak di Johor mengadu dijangka kos operasi mereka akan terus meningkat dengan pelaksanaan gaji minimum mulai tahun depan.
Tambah beliau, perbincangan bersama Persatuan Usahawan India Muslim Negeri Johor telah pun dibuat pada 14 November lalu berkenaan isu tersebut dan mereka memberi respons positif tidak akan menaikkan harga sebagaimana yang diumumkan.