SHAH ALAM, 19 November- Kerajaan sasar 50 peratus daripada 70,000 penggiat industri kreatif untuk mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam tempoh satu hingga dua tahun hadapan.
Iltizam itu sejajar dengan kerjasama strategik antara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dengan KWSP.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata usaha itu merupakan langkah komprehensif untuk menguruskan pelan simpanan wajib serta perancangan persaraan penggiat seni.
Ini sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan kumpulan terbabit terus terbela.
"Dalam sektor industri kreatif khusus dalam bidang perfileman, hanya lebih kurang 6 peratus yang pada waktu ini mencarum dengan pihak KWSP.
Jadi, kita akan menggerakkan jentera di bawah FINAS untuk meningkatkan pemahaman dalam kalangan para penerbit supaya mereka akan mencarumkan para pekerja dalam program ataupun projek-projek mereka supaya ada caruman KWSP," kata Fahmi kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) KWSP dengan FINAS di Menara KWSP, Kwasa Damansara.
Mengulas lanjut, MoU tersebut juga merangkumi usaha memperkukuh isu-isu kebajikan penggiat seni seperti perlindungan insurans serta standard kontrak kerja yang lebih baik.
Setakat ini, hanya 3,000 penggiat seni telah mencarum dalam i-Saraan KWSP sejak 2010 hingga tahun ini.