KUALA LUMPUR, 19 November – Pembekal bagi proses perolehan penggunaan kod respon pantas (QR) untuk laluan Malaysia-Singapura akan dimuktamadkan pada tahun kewangan semasa tidak lama lagi, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Keputusan itu sebagai langkah meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kesesakan di pintu masuk sempadan negara.
“Kami akan memuktamadkan pelantikan pembekal untuk maksud perolehan pada tahun kewangan ini.
"Untuk itu, bajet sebesar RM20 juta telah disediakan bagi merealisasikan penggunaan kod QR ini.
“Setelah itu, kami akan melakukan pelaksanaan (roll out) bagi mod pengangkutan lain secara berperingkat mengikut fasa," katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Segamat, R. Yuneswaran di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya, penggunaan kod QR ini adalah satu daripada 52 inisiatif yang dirancang kerajaan untuk menangani masalah kesesakan di pintu masuk negara.
Statistik menunjukkan peningkatan sebanyak 17 peratus dalam kemasukan warganegara dan pelawat asing sepanjang tahun ini, dengan Bangunan Sultan Iskandar mencatatkan 83.4 juta kemasukan dan Kompleks Sultan Abu Bakar pula merekodkan 34.5 juta.
Semalam, mesyuarat Jawatankuasa Khas bersetuju untuk memperluaskan penggunaan kod QR kepada kategori kenderaan lain.
Keputusan dibuat selepas fasa percubaan yang melibatkan penumpang bas dan motosikal sejak 1 Jun hingga 30 November ini menunjukkan hasil yang positif.
Pada 1 Jun lalu, Jabatan Imigresen Malaysia telah melaksanakan pengujian secara Proof of Concept (POC) pemeriksaan imigresen menggunakan kod QR di pintu masuk CIQ Bangunan Sultan Iskandar (BSI).
Pengenalan penggunaan kod QR ini merupakan antara inisiatif terbaharu Kerajaan bagi mempercepatkan proses pemeriksaan imigresen dan mengurangkan tempoh menunggu di pintu-pintu masuk negara.