SHAH ALAM, 19 November- Selangor telah mengemukakan cadangan supaya kerajaan Persekutuan menggunakan lima peratus daripada dana rizab Persekutuan, diberikan kepada semua negeri.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, perkara itu masih lagi dalam pertimbangan kerajaan Persekutuan.
Namun, Amirudin berkata, jika diluluskan ia merupakan satu lonjakan yang amat besar kepada sumbangan peruntukan terhadap kerajaan negeri.
"Saya telah kemukakan agar lima peratus daripada sumbangan dana kerajaan kita, dana rizab kerajaan pusat boleh diberikan kepada semua negeri termasuk Selangor.
Itu kalau lima peratus kita perolehi. Perkara itu merupakan satu lonjakan yang besar, nilai terhadap sumbangan kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri. Tetapi, perkara tersebut masih dalam penilaian," kata Amirudin kepada pemberita , hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan, Muhammad Izuan Ahmad Kassim (PH-Damansara) yang ingin mengetahui usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan pendapatan daripada kerajaan Persekutuan pada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor di Shah Alam, hari ini.