MARANG, 17 September - Universiti Malaysia Terengganu, UMT tampil menyantuni dan menghulurkan sumbangan kepada salah seorang anak mangsa tragedi bot terbalik di Merchang, Marang yang meragut nyawa sepasang suami isteri, 31 Ogos lalu.
Nur Nabilah Abdul Rahim, 23 tahun yang juga bakal mahasiswa universiti berkenaan merupakan anak ketiga daripada enam beradik, menerima kunjungan menerusi Program Ziarah Bingkas Kasih@UMT di kediamannya di Pulau Kerengga, Marang.
Naib Canselor UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, pihak universiti prihatin dengan nasib pelajar daripada kategori B40 terutama mereka yang ditimpa musibah.
"Universiti dan Kementerian Penddidikan Tinggi ingin memastikan bahawa pelajar-pelajar yang tergolong daripada pelajar B40 tidak mempunyai masalah untuk meneruskan pangajian di peringkat Ijazah pertama. Justeru itu kami dengan rendah diri dan sukacita membantu mereka supaya dapat meneruskan pengajian," ujarnya.
Nur Nabilah menerima bantuan berupa wang tunai dan barangan keperluan harian, malah turut layak menyertai Program SULUNG UMT yang diperkenalkan sejak 2023.
Melalui program tersebut, yuran pengajian pelajar ditanggung sepenuhnya sepanjang tempoh pengajian.
Inisiatif ini bagi memastikan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan tidak terbeban dengan kos pengajian dan mampu menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pelajaran.
Nabilah yang bakal mendaftar ke UMT akhir bulan Ini akan mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Sains Akuakultur selama empat tahun.
Dalam pada itu, Nabilah menzahirkan rasa syukur atas bantuan yang diterimanya.
"Sokongan penuh UMT akan dapat merialisasikan impian saya serta harapan kedua arwah ibu bapa saya agar suatu hari nanti saya dapat menjadi seorang pensyarah," katanya.
Dalam tragedi yang meragut nyawa kedua ibu bapa Nabilah berlaku selepas bot gentian kaca yang dinaiki mereka dipukul ombak besar ketika turun ke laut untuk menangkap ikan.
Mereka meninggalkan enam orang anak, dua daripadanya masih bersekolah.