KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Malaysia melakar sejarah dengan pelancaran program wakaf pertama negara yang memberi tumpuan khusus kepada pemeliharaan hidupan laut, menerusi inisiatif Wakaf Kelestarian Alam: Konservasi Penyu Terengganu dan pelaburan patuh Syariah, RHB Sukuk Dana Hafeez.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Turut berlangsung ialah pemeteraian Perjanjian Persefahaman (MoA) antara Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan RHB Islamic Bank Berhad (RHB Islamic), sebagai simbolik kerjasama strategik memelihara alam sekitar melalui pendekatan wakaf.
Naib Canselor UMT, Prof Ts Dr Mohd Zamri Ibrahim, berkata inisiatif tersebut adalah wakaf tunai pertama di Malaysia yang memberi tumpuan khusus kepada pemeliharaan spesies marin seperti penyu, selaras dengan prinsip ekonomi Islam dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 14: Life Below Water).
“Inisiatif ini menginstitusikan wakaf sebagai instrumen pembiayaan lestari, menyokong penyelidikan, pendidikan serta meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya generasi muda, mengenai kepentingan biodiversiti marin,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan RHB Islamic Bank, Datuk Adissadikin Ali, menjelaskan meskipun RHB Islamic tidak memiliki kepakaran dalam bidang sains atau konservasi marin, mereka mempunyai kelebihan dalam aspek pengumpulan dana.
“Justeru, kerjasama strategik dengan UMT dan MYDAM Terengganu ini membolehkan penerbitan wakaf sukuk khusus bagi kelestarian laut, terutamanya pemeliharaan penyu. Kami percaya ini adalah yang pertama seumpamanya di dunia, wakaf yang diwujudkan khusus untuk pemeliharaan penyu dan kelestarian laut,” jelasnya.
Dana yang dikumpul melalui sukuk dan wakaf itu akan disalurkan sepenuhnya ke Tabung Wakaf Pendidikan dan Kebajikan UMT, bagi menyokong projek konservasi yang dikendalikan oleh Sea Turtle Research Unit (SEATRU) dan Stesen Penyelidikan Chagar Hutang di Pulau Redang, lokasi pemuliharaan penyu yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Gabungan institusi diraja, universiti dan sektor korporat itu dijangka menjadi model inovatif bagi pemeliharaan biodiversiti marin secara mampan di Malaysia.