fb fb fb fb fb

UMPSA zahir komitmen terhadap kelestarian alam sekitar

Facebook UMPSA Malaysia

KUANTAN, 2 November - Ekspo Konvokesyen Ke-20 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menzahirkan komitmennya terhadap kelestarian alam sekitar, kesejahteraan masyarakat dan pembangunan ekonomi mampan.

Bertemakan ‘Lestari Demi Generasi Madani’, ia juga diangkat berteraskan konsep Matlamat Pembangunan Mampan, Sustainable Development Goals (SDG) sebagai teras utama penganjuran.
 
Menurut Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias, berbeza dengan tahun sebelumnya, pihak universiti memfokuskan inisiatif lestari, teknologi hijau dan idea baharu bagi tahu ini.

Ia merangkumi pendedahan kepada pembangunan teknologi Kenderaan Elektrik (EV) dan kenderaan autonomi (AV).

"Bagi menyokong agenda kelestarian kampus, UMPSA telah membangunkan ekosistem kenderaan autonomi (AV) sebagai manifestasi komitmen padu universiti dalam menggabungkan penyelidikan, inovasi, dan pemindahan teknologi.

"Inisiatif ini bertujuan memperkasa bidang mobiliti pintar serta pembangunan kenderaan masa hadapan di Malaysia," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Ekspo Konvokesyen ke-20 UMPSA di Dewan Kompleks Sukan, Kampus Gambang, di sini hari ini.

Tambah beliau, UMPSA terus membuktikan keunggulannya dalam menerapkan amalan hijau dan lestari di seluruh kampus apabila muncul sebagai satu-satunya universiti di Malaysia yang menerima Anugerah Bendera Hijau Eco-Campus.

Seterusnya meletakkan universiti itu sebagai peneraju dan pakar rujuk nasional dalam bidang AV dan EV.
 
Penganjuran Ekspo tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UMPSA , Dato' Seri Abdul Razak Jaafar, bersempena Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20 yang dijadual berlangsung pada 8 hingga 10 November depan.
 
Ekspo itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya forum dan dialog MADANI, aktiviti kesukarelawanan dan kesihatan, pertandingan sukan dan e-sukan, pameran inovasi hijau, Jualan Rahmah, Dialog MADANI, Pameran TVET dan Penyelidikan, Ekspo Niaga serta Pameran Agensi.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN