fb fb fb fb fb

UMPSA harus meningkatkan kolaborasi strategik dengan rakan industri

(Al-Sultan Abdullah berkenan menyerahkan Warkah Pemasyhuran Pro Canselor kepada Pemangku Raja Pahang pada Majlis Konvokesyen UMPSA/BERNAMA)

KUANTAN, 21 Oktober- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat mencemar duli ke Majlis Konvokesyen Ke-18 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), di Kuantan.

Al-Sultan Abdullah bertitah agar usaha berterusan dilaksana universiti teknikal itu, tertumpu kepada pemerkasaan akademik dan penyelidikan, selain peningkatan kedudukan penarafan, serta kebolehpasaran graduan.

Titah Baginda, bagi mencapai hasrat tersebut, universiti ini wajar terus mengorak langkah dalam meningkatkan kolaborasi strategik dengan pelbagai rakan industri, serta universiti lain sama ada di dalam mahupun di luar negara.

(Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah bertitah pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang
Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di UMPSA/BERNAMA)

"Penyelidikan dalam pembangunan mampan dan teknologi hijau, perlu terus diperkayakan, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 ataupun “Sustainable Development Goals 2030".

"Begitu juga dengan penyelidikan dalam bidang baharu seperti robotik dan teknologi tinggi berasaskan kecerdasan buatan, perlu menjadi keutamaan sejajar dengan keperluan industri negara, pada hari ini", titah Baginda.

Sebagai sebuah universiti yang berasaskan sains, teknologi dan kejuruteraan, universiti ini perlu terus memperkasa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi memenuhi permintaan dalam Rancangan Malaysia ke-13.

Baginda percaya, usaha-usaha tersebut bakal memartabatkan keunggulan dan melonjakkan pencapaian penarafan UMPSA.

Seri Paduka Baginda bertitah demikian pada Majlis Konvokesyen ke-18 UMPSA di kompleks sukan UMPSA Kampus Gambang.

Al-Sultan Abdullah turut diiringi Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Majlis konvokesyen kali ini menyaksikan sejumlah 4,851 graduan berjaya menamatkan pengajian.

Pada majlis sama, Seri Paduka Baginda turut menyempurnakan Istiadat Pemasyhuran UMPSA dan pengurniaan warkah pemasyhuran Pro-Canselor UMPSA kepada Tengku Hassanal.

Media Baharu