BENUT, 15 September- UMNO akan terus memperjuangkan seni silat tradisi warisan Melayu supaya ia tidak pupus ditelan zaman ekoran pembangunan negara yang semakin pesat.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, seni mempertahankan diri itu perlu didedahkan kepada golongan belia bagi membentuk sifat keberanian dan disiplin untuk mendepani cabaran hidup.
"Kalau kita lihat bendera UMNO pun ada hubung kait dengan tradisi itu dengan keris dan sebagainya. Memang zaman sekarang bukanlah satu kaedah persenjataan untuk perang tetapi ia melatih kita supaya berdisiplin.
"Ia termasuk dalam usaha-usaha yang dilakukan seperti disiplin, tangkas dan berani. Itu antara elemen dalam silat dan patut ditanamkan dalam diri anak-anak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Silat Johor 2023 di sini.
Dalam masa sama, Ahmad Maslan yang juga selaku Ahli Parlimen Pontian berharap aktiviti silat dapat diteruskan pada masa akan datang.
Sementara itu, sebanyak RM50,000 diperuntukkan bagi kerja-kerja pembinaan serta menaik taraf gelanggang silat di lima mukim dalam Parlimen Pontian yang dijangka siap pada tahun ini.
Setiap pemimpin khususnya di Johor diseru meneruskan Festival Silat di kawasan masing-masing sebagai acara tahunan bagi memperkasakan aktiviti mempertahankan diri.
(Foto hiasan)