KUALA LUMPUR, 17 Januari-Badan Perhubungan UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Said berkata, petisyen difailkan atas dakwaan PAS telah menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November 2022.
"Mereka (Pengundi) mendapat duit termasuk I Pencen. Diberi RM600 sekaligus semasa pilihan raya, sedangkan mereka sepatutnya menerima RM50 sebulan", ujarnya.
Menurut Peguam Amin Othman, yang mewakili Barisan Nasional sebagai pempetisyen berkata, ia difailkan di Mahkamah Tinggi Terengganu pada 3 Januari lalu.
"Asas kepada petisyen pilihanraya ini adalah bersandarkan dakwaan rasuah yang berlaku semasa tempoh berkempen dan semasa hari mengundi yang mana kami telah pun menghantar ketiga-tiga petisyen ini kepada ketiga-tiga responden iaitu calon yang menang", katanya pada sidang media berkaitan petisyen itu di Ibu Pejabat Umno di Menara Datuk Onn di sini semalam.
Pada PRU15, Datuk Seri Ahmad Said yang mewakili Barisan Nasional (BN) yang bertanding di kerusi Parlimen Kemaman tewas kepada calon Pas, Che Alias Hamid yang menang majoriti 27,179 undi.
Parlimen Marang pula dimenangi Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan majoriti 41,729 undi dalam pertandingan empat penjuru.
Parlimen Kuala Terengganu pula kekal disandang Pas apabila calonnya, Datuk Amzad Hashim memperoleh majoriti 40,907 undi menewaskan tiga pencabar lain.
(Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said/FOTO RTM)