fb fb fb fb fb

UMNO berpendapat PRU15 boleh diadakan sebelum pertengahan November

(Datuk Seri Ahmad maslan membacakan kenyataan media sejurus selesai
mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato Onn)

KUALA LUMPUR, 11 Oktober- UMNO berpendapat Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) boleh diadakan sebelum pertengahan November,

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan , berkata ia bagaimanapun bergantung kepada kebijaksanaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menentukan tarikh PRU15.

"UMNO berpendirian pembubaran Parlimen adalah merupakan jalan terbaik memandangkan wakil parti-parti yang membentuk kerajaan campuran sebelum ini makin jelas tidak memperlihatkan solidariti terhadap Perdana Menteri dalam mentadbir negara.

Malah mengisytiharkan UMNO dan BN (Barisan Nasional) musuh utama, hanya lebih menzahirkan tiadanya kepercayaan dan rasa hormat kepada UMNO yang menerajui kerajaan.

"UMNO menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong di atas perkenan baginda untuk membubarkan Parlimen selaras dengan kuasa baginda sebagaimana termaktub di bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan.

"Kita menghormati titah tuanku, bahkan berpendirian serupa bahawa negara tidak boleh dibiarkan berterusan berada dalam keadaan politik yang tidak menentu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan kenyataan media sejurus selesai mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato Onn di sini, pada malam Isnin.

Mesyuarat itu dihadiri semua Ahli MKT, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.

(Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan pada sidang media selepas menghadiri
Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato Onn/BERNAMA)


Terdahulu pada sebelah petang semalam, Ismail Sabri dalam Perutusan Khas sempena Pembubaran Parlimen Ke-14 memaklumkan, beliau telah menghadap dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tengah hari semalam, bagi menyembah warkah mengenai permohonan pembubaran Parlimen Ke-14.

Mengulas lanjut berhubung perkara dibincangkan dalam MKT UMNO itu, Ahmad berkata mesyuarat berkenaan membincangkan beberapa isu gerak kerja dan persiapan jentera untuk menghadapi PRU15.

“Mesyuarat juga bersetuju agar tema utama manifesto bagi PRU15 ialah “Kestabilan Dan Kemakmuran”, tema seumpama ini telah digunakan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan PRN Johor sebelum ini.

"Ia akan diangkat untuk persetujuan Dewan Tertinggi BN,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Perhimpunan Agung UMNO yang sebelum ini ditentukan pada 23 hingga 26 November depan, akan diubah kepada suatu tarikh baharu yang akan dimaklumkan.

Media Baharu