fb fb fb fb fb

Persiapan PRU15: Majlis Presiden PH adakan pertemuan dalam masa terdekat

(Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ahmad Fahmi Fadzil
 selepas menghadiri mesyuarat khas parti susulan pembubaran Parlimen)

PETALING JAYA, 11 Oktober- Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan pertemuan dalam masa terdekat bagi memuktamadkan beberapa keputusan sebagai persiapan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ahmad Fahmi Fadzil berkata, pertemuan itu dijangka turut membincangkan persiapan jentera parti.

"Insy-Allah Majlis Presiden PH akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat dan beberapa keputusan akan diputuskan.

"Beberapa perkara yang ada dalam jadual yang ditetapkan mungkin akan diawalkan, contohnya konvensyen akan dianjakkan atau diawalkan ataupun ditangguhkan dan dibuat dengan cara yang sedikit berbeza.

"Situasi politik negara kini mengalir dalam keadaan 'cair', jadi kita tengok apa yang akan berlaku nanti terutamanya pengumuman daripada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, di ibu pejabat PKR, pada malam Isnin.

Sementara itu, mengulas lanjut pemilihan calon bagi PRU15, beliau berkata di samping memberi tumpuan untuk mempertahankan kerusi yang disandang parti itu, PKR juga mahu merampas kembali beberapa kerusi yang terlepas disebabkan tindakan bertukar sokongan bekas wakil rakyatnya.

"Sekarang fokus kita bukan saja kerusi disandang, tapi juga beberapa kerusi lain yang menjadi sasaran.

"Semestinya kita beri fokus pada kerusi PKR yang terlepas dan ini menjadi fokus khusus pimpinan," katanya.

Selain itu, beliau berkata, PKR dan PH juga bercadang menambah kerusi untuk ditandingi pada PRU15,

"Kalau PRU14, PKR bertanding 51 kerusi di Semenanjung, jangkaan kita lebih daripada itu (untuk PRU15) kerana 52 kerusi BERSATU akan diagihkan antara PKR, DAP dan AMANAH di Semenanjung.

"Angka sebenar kita tunggu keputusan parti kerana masih ada beberapa kerusi yang masih dalam perbincangan," katanya.

(Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya
 bagi menghadiri mesyuarat khas parti susulan pembubaran Parlimen)

Sementara itu, Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rundingan antara PH dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) untuk bekerjasama dalam PRU15 masih berlangsung dan ada kemajuan.

Beliau yang juga Presiden PKR berkata laporan media yang tular mendakwa PH menolak MUDA adalah tidak benar.

"Tak betul, kita masih berunding dan ada kemajuan," katanya ringkas kepada pemberita.

Terdahulu Anwar mempengerusikan mesyuarat itu yang bermula pada 9.40 malam dan turut dihadiri Timbalan Presidennya Rafizi Ramli serta Naib Presiden Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, Ketua Wanita Fadhlina Sidek dan Ketua Angkatan Muda Adam Adli serta Ahli MPP.

Media Baharu