fb fb fb fb fb

UMK meterai MoU dengan KTU dan UNIKA bagi pelaksanaan program 'dual degree'

ISTANBUL, 6 Julai- Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Karadeniz Technical University (KTU) dan Karabuk University (UNIKA) untuk pelaksanaan program ijazah berkembar (dual degree) bagi prasiswazah dan pascasiswazah.

UMK diwakili oleh Naib Canselornya, Profesor Dr. Razli Che Razak manakala KTU dan UNIKA diwakili oleh rektor mereka.

Pemeteraian MoU turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Bin Haji Che Salleh.

KTU adalah sebuah universiti yang memfokuskan kepada teknikal, sains dan teknologi yang ditubuhkan pada tahun 1955 dan antara universiti pertama di Turkiye yang ditubuhkan di luar Istanbul dan Ankara.

Kerjasama UMK dan UNIKA pula akan bertumpu kepada aktiviti akademik dan penyelidikan termasuk perkongsian fasiliti dan maklumat hasil daripada penyelidikan antara kedua-dua universiti.

"Kita telah hantar pensyarah ke Karadeniz dan juga seorang pensyarah ke Universiti Karabuk. Kedua-dua universiti di Turkiye ini merupakan universiti awam yang kita pilih lebih besar daripada UMK yang mana enrolmen kita baru setakat 14,000 orang. Jadi dengan kekuatan yang mereka ada, kita akan melakukan juga seperti kerjasama penyelidikan dimana pihak universiti di Turkiye ini akan menyediakan geran dan disambut oleh pihak UMK," kata Profesor Dr. Razli kepada pemberita RTM selepas majlis MoU berkenaan.


(Naib CanselorĀ UMK, Profesor Dr. Razli Che Razak (kiri) menjelaskan perkara tersebut kepada pemberita RTM selepas majlis menandatangani MoU berkenaan)

Sebelum ini, UMK telahpun mengadakan kerjasama dengan 60 universiti lain di seluruh dunia.

Media Baharu