fb fb fb fb fb

Hospital Pakar KPJ Perlis anjur kempen derma darah bantu masyarakat

KANGAR, 6 Julai - Bagi meningkatkan stok bekalan darah khususnya bagi menghadapi kes kecemasan di hospital dan pusat-pusat rawatan, Hospital Pakar KPJ Perlis menganjurkan Kempen Derma Darah sebagai komitmen sokongan terhadap masyarakat.

Program dengan kerjasama Unit Transfusi Darah, Hospital Tuanku Fauziah dan Majlis Kanser Nasional berlangsung selama 5 jam yang berakhir 3 petang tadi berjaya mengumpul sebanyak 32 pek darah.


(Kempen Derma Darah anjuran Hospital Pakar KPJ Perlis)

Menurut Pengurus Besar Hospital Pakar KPJ Perlis, Rosli Hamid, program secara berkala berkenaan sebahagian tanggungjawab sosial korporat bagi membantu masyarakat.

Kempen sebegini memberi peluang kepada mana-mana penderma yang layak untuk tampil menderma serta menjadikannya sebagai salah satu sumbangan kepada yang memerlukan bekalan darah.

"Kita nampak sambutan memang menggalakkan dari semasa ke semasa. Selalunya kempen ini pun kita adakan sebelum ini, tetapi disebabkan COVID-19, kita hentikan buat seketika dan alhamdulillah kita dapat sambung semula kempen derma darah dan kita dapati dari semasa ke semasa sambutan memang menggalakkan dan saya menyerulah seluruh warga negeri Perlis terutamanya untuk tampil menderma darah," katanya kepada media pada Kempen Derma Darah anjuran Hospital Pakar KPJ Perlis dengan kerjasama Unit Transfusi Darah Hospital Tuanku Fauziah dan Majlis Kanser Nasional.

Masyarakat turut disaran untuk terus menderma secara berkala walaupun bukan ketika kempen dilaksanakan dengan terus mengunjungi Unit Transfusi Darah, Hospital Tuanku Fauziah.

Media Baharu